Wednesday 18 April 2012

Faktor keruntuhan umat islam



FAKTOR KERUNTUHAN UMAT ISLAM


  Faktor utama yang menyebabkan keruntuhan Umat Islam ialah kerana mereka telah 

 berubah dari kesatuan dan persatuan dalam urusan agama dan dunia mereka menjadi :

1.   Mereka berebut-rebut untuk menjadi ketua yang diberi kuasa dan mandat.
 
2.   Mereka berubah menjadi manusia yang ta'assub sama ada ta'assub perkauman,bangsa 

       dan keturunan.
 
3.   Pertentangan dalam hal dasar-dasar agama dan cabangnya.
 
4.   Adanya usaha adu-mengadu dan tersebarnya fitnah daripada ejen-ejen rahsia penjajah.
 
5.   Menjauhi roh Islam.
 
6.   Mengenepikan pendidikan atau ajaran Islam yang murni.
 
7.   Bergantung kepada kulit dan upacara-upacara yang dibangsakan kepada

      Islam,walaupun sebenarnya ia tidak ada  kaitan dengan Islam.
 
8.   Meninggalkan kebenaran yang dinyatakan Islam.
 
9.   Tidak menerima seruan orang-orang yang mahu memperbaiki keadaan 

       masyarakat,sebaliknya mereka memperlekeh orang-orang yang berniat baik.
 
10.  Kejahilan yang nyata terhadap kebenaran Islam.Ini menyebabkan Umat islam tidak 

       tahu ajaran islam sebenar yang dibawa oleh Islam yang menjadi penganutnya.Ingat 

       kejahilan adalah musuh utama kita.


Faktor kemerosotan tamadun Islam menurut sarjana Islam :

1.  Ibn Khaldun
  •  Kejatuhan sesebuah tamadun adalah disebabkan oleh keruntuhan nilai-nilai moral dalam kehidupan manusia yang terlalu taksub dengan kekayaan 
2.  Wahbah Zuhayli
  • Disebabkan ketidakseimbangan di antara aturan fizikal dan spiritual
3.  Jared Diamond
  • kerosakan alam sekitar
  • perubahan iklim
  • bencana alam
 


pengaruh tamadun islam dalam bidang ilmu

PENGARUH TAMADUN ISLAM DALAM BIDANG ILMU

  1. ILMU FALSAFAH


  • Ibnu Rusyd (Averroes) telah menguasai alam pemikiran sejak abad ke-12 - abad ke-16
  • Christopher Columbus ingin mengembara di Lautan Atlantik telah dihalang oleh Gereja tetapi katanya " Yang memberi ilham kepadaku untuk melakukan tujuan yang mulia ini adalah buku-buku dari Ibn Rusy "
  • Frederick II iaituMaharaja Rom telah mendirikan UniversitiNaplesbertujuan menyiarkan ilmu falsafah dan pengetahuan Islam di Eropah 

     2.  ILMU SAINS DAN PERUBATAN
  • Buku-buku astronomi Al-Khawarizmi telah disalin ke bahasa Latin dan pada tahun 1914 Karya Nasiruddin Tusi tentang ilmu matematik telah disalin ke bahasa France.
  • Karya Al-Khaearizmi tentang soal hitungan dan asal-usul angka telah disalin ke bahasa Latin
  • Bidang Kimia karangan Jabir (Greber) telah disalin ke bahasa Inggeris dan Latin dengan nama Book of Composition of Alchemy pada 1144

     3.  KESUSASTERAAN 

     Di antara karya-karya satera Islam yang sangat terkenal di Barat ialah :
  • Hikayat 1001 Malam
  • Rubaiyat Umar Khayyam
  • Shah Nameh oleh Firdausi
  • Al-Masnawi oleh Salahuddin Al-Masnawi



 



























Thursday 12 April 2012


PRINSIP-PRINSIP TAMADUN ISLAM

      1. Memelihara agama
   Fitrah semulajadi manusia hendakkan agama,manusia bebas memilih agama masing- masing, dan “tiada paksaan dalam beragama”. Menyerah diri kpd Allah dgn mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan larangan.


2. Memelihara nyawa atau jiwa

Menjamin nyawa atau jiwa daripada pencerobohan manusia lain. Larangan membunuh dan membunuh diri. Firman Allah SWT “Barangsiapa yang membunuh seorang manusia bukan kerana hukuman pembunuhan atau kerana membuat bencana dalam negeri,maka ertinya orang itu telah membunuh manusia seluruhnya” (AL MAIDAH 5:32)
3. Memelihara akal
Mengharamkan minuman keras. Firman Allah SWT “Wahai org yang beriman,sesungguhnya minuman arak,berjudi,berkorban utk berhala,mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji,termasuk perbuatan syaitan.Maka jauhilah perbuatan itu,agar kamu mendapat keberuntungan” (AL MAIDAH 5:90)

4. Memelihara maruah dan keturunan
Mensyariatkan perkahwinan, haramkan zina,pergaulan bebas lelaki perempuan, firman Allah SWT “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan. Kami yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepada kamu. Sesungguhnya membunuh mereka satu dosa yang besar” (AL ISRAA' 17:31)

5. Memelihara harta
Firman Allah SWT , Dan tuntutlah apa yang didatangkan oleh Allah S.W.T kepada kamu untuk hari akhirat dan janganlah kamu lupa habuan kamu di dunia. Buatlah baik sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu dan janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melakukan kerosakan.” (AL QASAS 28:77)

Untuk memelihara keselamatan harta benda yang menjadi hak milik halal bagi individu, tamadun Islam mengharamkan sebarang bentuk pencurian daripada sekecil-kecil harta seperti jarum hinggalah sebesar-besarnya. Hal ini diperjelaskan oleh Allah SWT dalam ayat, terjemahannya dalam  Surah al-Maa’idah 5:38: “Lelaki dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan kedua-duanya sebagai pembalasan daripada apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan daripada Allah”. 

6. Memelihara hak kebebasan

    Hak Allah SWT:bebas dari taklid,alam bukti kewujudan Allah,bebas dari kesesatan. Hak Manusia: bebas bergerak,bebas bersuara,bebas berpersatuan,bebas beragama. 

Sunday 11 March 2012

Menjadi Penyumbang Ke Arah Kebangkitan Islam




Sebagai manusia yang bergelar muslim mempunyai peranannya di atas muka bumi ini, apakah peranan itu? Peranannya adalah memakmurkan bumi ini dengan syariat Allah. Kita lihat bagaimana pada zaman kita pada hari ini, jauhnya kita telah tersesat meninggalkan suruhan Allah dalam kehidupan kita.

Semakin jauh kita melangkah meninggalkan Allah dalam kehidupan kita, semakin jauh kita dengan kebenaran. Memang tidak dapat dinafikan, islam itu agama yang syumul dan menyeluruh serta lengkap daripada semua aspek kehidupan kita, tetapi bagaimana pula apabila kita berbicara tentang muslim, yakni penganutnya.



Itulah tanggungjawab kita
Mengembalikan muslim kepada kehidupan islam sebenar, itulah tanggungjawab kita semua, tetapi bagaimana? Apabila berbincang perkara ini, iaitu perkara untuk mengembalikan islam supaya ianya tertegak di atas muka bumi ini, ramai di kalangan manusia merasakan, kita perlu mendirikan sebuah Negara, mempunyai perlembagaan islam, menjalankan hukum qisas, hudud, takzir, baru boleh menjalankan syariat Allah dalam kehidupan kita. Begitu kompleknya pemikiran Tidak semestinya begitu.

Menyumbang ke arah kebangkitan islam
Menyumbang ke arah itu, tidaklah serumit yang selalu orang fikirkan, kadang – kadang hanya dengan mengutip sampah, juga boleh menyumbang ke arah kebangkitan islam, Hanya dengan menjaga lidah, percakapan , pergaulan juga meyumbang kearah yang sama, Nampak? hanya dengan mengikut perintah Allah yang sudah terkandung dalam al –quran, serta mengamalkan sunnah nabi-Nya sangat – sangat menyumbang ke arah kebangkitan islam.

Islam itu tetap akan bangkit
Itulah janji nabi dalam hadisnya, ruginya kita sebagai seorang islam apabila tidak menjadi penyumbang kepada islam, jikalau kita menjatuhkan agama islam sekalipun, itulah adalah janji nabi, islam tetap akan naik, sesiapakah yang paling untung dalam hal ini? Dan siapakah yang rugi dalam hal ini? Kemenangannya sudah ada didepan mata, tetapi siapakah yang mahu mengejarnya? Kitalah yang patut menggapainya

Dalam kehidupan kita sebagai pelajar
Tanamkan azam untuk bangkitkan islam dalam pelusuk kehidupan kita, niatkan pembelajaran yang kita lalui selama ini untuk menjadi penyumbang ke arah itu, bukan semudah berbicara tentang semua ini, tetapi pada masa yang sama juga ianya bukan mustahil untuk melaksanakannya. Hanya perlu ada kemahuan dan juga ikhtiar, serta istiqomah dalam perjuangan.

Saturday 10 March 2012

PERSEPSI MASYARAKAT ISLAM DALAM ISU-ISU SEMASA





Di dalam blog ini kami cuba  mengupas persepsi atau pandangan masyarakat Islam terhadap beberapa isu yang timbul di negara ini. Di sini kami  lebih ke arah membetulkan persepsi  songsang yang terdapat di dalam pemikiran umat Islam di negara ini di dalam menggarap atau memperkatakan sesuatu isu berhubung dengan Islam. Segala permasalahan yang timbul di kalangan umat Islam sewajarnya dirujuk kepada sumber Islam yang sahih dan bukannya diselesaikan mengikut andaian, sentimen kepartian apatah lagi ledakan emosi. Islam adalah satu agama yang ditegakkan di atas dasar ilmu bukannya rekaan atau taqlid membuta tuli. Kegawatan yang berlaku di dalam kehidupan umat Islam hari ini berpunca dari kecetekan ilmu, konflik politik dan sikap individualistik dan kumpulan.Seruan terhadap Islam itupun didirikan di atas dasar ilmu, ajakan berbahas, berdailog dan berdebat dengan cara yang baik agar kebenaran yang hendak ditegakkan agar benar-benar difahami , dihayati dan diterima dengan hati yang terbuka oleh umat Islam.

Isu-Isu Semasa Umat Islam: Satu Senario

Semenjak Umat Islam di negara ini mencapai kemerdekaan sehinggalah ke hari ini banyak isu-isu yang mendapat perhatian dalam kalangan umat Islam. Kalau sebelum merdeka isu-isu yang timbul berkisar kepada perjuangan untuk memerdekakan tanah air, memajukan umat Melayu yang mundur di dalam pelbagai bidang, isu-isu agama yang melibatkan persoalan bid'ah, khurafat, pendidikan agama, penghakisan nilai-nilai hidup Islam serta lain-lain isu sosial seperti kedudukan  dan peranan wanita di dalam pembangunan negara. Pasca-kemerdekaan memperlihatkan kesungguhan umat Melayu Islam  memperkukuhkan  lagi status quo mereka di dalam Tanah air mereka sendiri di dalam pelbagai bidang khususnya penyertaan kaum Melayu dalam sektor ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi. Di dalam masa yang sama kesedaran beragama semakin meningkat di kalangan umat Melayu khususnya apabila lahirnya kesan-kesan negatif modenisasi yang dijalankan. Isu-isu modenisasi sama ada ianya  membawa kesan positif atau negatif telah menjadi tumpuan di dalam apa juga agenda sama ada agenda politik, pendidikan, gerakan keagamaan dan sebagainya.

Sistem pendidikan yang diwujudkan oleh penjajahan Inggeris serta diperkukuhkan selepas kemerdekaan Malaysia rupa-rupanya telah membelah pemikiran , pendekatan dan cara bertindak umat Melayu. Sistem pendidikan tersebut sekurang-kurangnya telah menghasilkan dua kelompok umat Melayu, iaitu Melayu-sekular dan Melayu Islamis. Kedua-dua kelompok inilah yang mencorakkan isu-isu semasa umat Islam mengikut kefahaman dan persepsi kelompok masing-masing. Kadang-kala konfrantasi kedua kelompok ini  bukan sahaja dalam bentuk pertentangan idea dan pendekatan malah turut membawa kepada  pertentangan fizikal seperti peristiwa Memali, pulau memulau, dan kafir mengkafir.


Persepsi Songsang  Umat Islam Terhadap Isu-Isu Semasa


Perkembangan mutakhir memperlihatkan banyak isu-isu yang lahir dan dibahaskan berdasarkan persepsi yang songsang. Antaranya:

 1)      Islam tidak boleh dicampur adukan dengan politik

Isu tersebut seringkali kita dengar dan membacanya di dada-dada akbar iaitu media massa  mahupun di media elektronik. Isu tersebut timbul apabila sebahagian besarnya adalah akibat daripada pertentangan idealogi politik parti-parti politik yang terdapat di negara ini dalam usaha mereka untuk mendapatkan pengaruh dan kekuasaan di kalangan masyarakat. Sebenarnya slogan bahawa agama harus dipisahkan daripada politik bukanlah baru di dunia Islam. Ia berpunca dari fahaman Barat dan kejahilan umat Islam memahami pandangan dunia Islam secara menyeluruh. Ada sesetengah pihak  cuba melunakkan istilah secular dengan memberinya makna yang positif agar ia sesuai dengan Islam. Seperti membahagikan istilah sekular kepada dua, iaitu  sekular  negatif dan  sekular  positif. Ada pandangan yang lebih berani lagi dengan mengatakan Islam adalah agama sekular yang memisahkan persoalan politik dari agama . Pandangan tersebut dibuat oleh Shekh Ali Abd al-Raziq yang berasaskan kepada 4  alasan (Lihat:Mohamed S.El-Wa, On the political system of Islamic state, 1984):

i.Bentuk pemerintahan Islam boleh dalam apa juga bentuk sama ada otokrasi, birokrasi, monarki, republik, demokrasi dan lain-lain.

ii. Tugas Nabi hanya mengajak memeluk agama, bukannya untuk mengatur negara atau pemerintah.

iii. Islam agama persatuan.

iv. Rasulullah mengajak umatnya bersatu dan berjaya mempersatukan mereka.


Pandangan di atas telah ditolak  dengan hebat oleh ulamak-ulamak Islam seperti Sheikh Muhamad al-Khidr Hussein (Mufti Azhar), Prof.Abd Hamid Mutawalli dan lain-lain lagi.Sekiranya pandangan tersebut diterima, seolah-olah tugas Rasulullah adalah sekadar mengajak manusia mentauhidkan Allah dan bukannya mengatur hidup manusia berpandukan hidayah daripada Allah.Pandangan tersebut juga bererti menolak sebahagian besar sirah Rasulullah yang memperlihatkan perjuangannya yang bersungguh-sungguh bagi mewujudkan  sebuah negara Islam di Madinah , antaranya melalui hijrahnya ke Madinah dalam rangka mewujudkan sebuah daulah Islamiah.Menurut Prof.Ismail al-Faruqi; “the most important aspect of the Hijrah is its creation of the Islamic state”, katanya lagi’ “…the state is inevitable for Islam. It is absolutely necessary for muslims to fulfill their Islamicity” . Ia juga merupakan essensi pengalaman keagamaan Islam yang menuntut pelaksanaan Islam dan mengubah ruang-waktu bagi memenuhi pola ketuhanan (Prof.Ismail al-Faruqi, The Hijrah: The Necessity of its iqamat, 1983) . Negara Islam menurut  Muhammad Iqbal adalah “is the expression of Islam’s spirituality” yang perlu diperluaskan dalam kehidupan umat Islam.Kalau diterima pandangan yang membataskan fungsi agama hanyalah dalam persoalan keagamaan sepertimana interprestasi Sheikh Ali Abd Raziq terhadap fungsi pengutusan Nabi Muhammad, samalah Islam dengan agama Kristian yang membataskan peranan  Pope mereka dalam persoalan ritual semata-mata atau Pope hanyalah pemerintah dalam kerajaan spiritual.

Ada juga segelintir masyarakat Melayu menyarankan agar nama Islam tidak boleh digunakan oleh parti-parti politik atau pertubuhan-pertubuhan bagi mengelakkan Islam diperalatkan oleh  parti politik tersebut bagi mendapatkan pengaruh di dalam masyarakat. Pandangan tersebut berasaskan hujah bahawa terdapat pertubuhan-pertubuhan di luar negara yang menggunakan Islam melakukan keganasan terhadap orang lain.Di samping itu, ia bertujuan mengelakkan berlakunya perpecahan dan pertelagahan sesama umat Islam. Pandangan tersebut merupakan pandangan yang bias, prejudis dan tidak berasaskan kepada dalil al-Qur’an dan Hadis. Pandangan tersebut hanya sekadar melanjutkan pandangan negatif Barat terhadap Islam, kebencian terhadap dakwah Islam dan dibuat atas dasar penilaian rasional dan pengamatan sosiologi semata-mata. Kalau diterima pandangan ini, bukan sahaja pertubuhan politik tidak boleh menggunakan  nama Islam, tetapi juga Bank juga tidak boleh dinamakan dengan Bank Islam dan nama orang-orang Melayu juga tidak boleh digunakan nama-nama Islam kerana alasannya ia masih melakukan kejahatan,kemungkaran atau tidak melambangkan hakikat Islam.

Kata nama Islam disandarkan kepada apa juga perbuatan, aktiviti dan gerakan adalah bertujuan untuk memberikan identiti khas dan hala tuju bahawa pekara tersebut dilakukan demi mencapai kehendak Islam mengikut kemampuan manusia. Kita mengakui bahawa terdapat kelemahan di dalam aspek penghayatan dan pelaksanaan Islam bagi pertubuhan yang menggunakan nama Islam. Sepatutnya kelemahan mereka itu harus diperbetulkan melalui semangat musyawarah, kritikan yang membina dan hujah yang bernas, bukannya dengan terus mengharamkan penggunaan  nama Islam sepertimana kesilapan besar yang dilakukan oleh Turki di bawah pemerintah Kamal Atartuk dan diteruskan sehingga hari ini. Disamping itu, tidak pernah ada mana-mana ulamak yang mengeluarkan fatwa mengharamkan atau tidak menggalakkan penggunaan nama Islam atas apa juga pekara melainkan dengan jelas pekara tersebut adalah satu kemungkaran. Pandangan tersebut adalah jelas lahir dari kejahilan, kebencian , fobia dan finatik, bukannya berasaskan hujah yang sahih!.

Satu lagi alasan yang dikemukakan bagi golongan yang mahu nama Islam tidak digunakan  dalam pertubuhan atau parti politik ialah alasan untuk menjaga kesucian Islam. Sebenarnya kesucian Islam terjaga apabila sistem Islam dinobatkan dan dilaksanakan di dalam kehidupan umat Islam. Islam hanya benar-benar terjaga kesuciannya apabila ada keazaman yang jitu dalam kalangan pertubuhan atau gerakan yang benar-benar mahu menjadikan Islam sebagai landasan perjuangannya. Tidak ada maknanya  kalau sekadar berslogan mahu menjaga kesucian Islam sedangkan segala tindak tanduk, pendekatan yang digunakan jauh dari kehendak ajaran Islam . Golongan yang masih berpegang teguh kepada fahaman sekularisme, sebenarnya mahu bertindak bebas di dalam apa juga tindakan mereka.Agama bagi mereka hanyalah penghalang kepada cita-cita dan nafsu tamak haloba yang ada di dalam diri mereka. Justeru itu, mereka mencari berbagai alasan bagi memperlihatkan Islam sebagai satu agama yang tidak boleh dicampur aduk dengan persoalan politik dan sebagainya. Kalau politik tidak ada di dalam Islam bermakna Allah  adalah bersifat jahil kerana menurunkan satu agama yang tidak lengkap dan tidak relaven dengan kehidupan manusia. Hebat sangatkah diri kita sehingga kita sanggup mengatakan Allah itu jahil !!!!.

2) Ulamak , Politik dan Kepimpinan

Ulamak di dalam Islam disebut sebagai pewaris para Nabi. Peranannya bukan sekadar menjadi imam di dalam solat, membaca doa, mengeluarkan fatwa bahkan mereka adalah golongan yang mengambil alih fungsi Nabi sebagai pemimpin masyarakat Islam. Peranan mereka yang menyeluruh dan amat berat tersebut  bukannya  sesuatu yang baru di dalam sejarah dan tamadun Islam. Namun di dalam masyarakat kita hari ini ada golongan yang tidak menyenangi penglibatan golongan tersebut di dalam kegiatan politik. Mereka lebih   suka melihat ulamak mengasingkan diri dari kegiatan politik dengan hanya menumpukan kepada persoalan keagamaan semata-mata. Sikap mereka itu samalah dengan sikap penjajah Barat semasa mereka menjajah dunia Islam dahulu. Ulamak yang hanya membataskan diri mereka dalam hal-hal kerohanian amat disenangi oleh golongan penjajah. Di dalam Islam, persoalan kepimpinan amat penting kerana ia menentukan pelaksanaan Islam sebagai satu sistem. Imam al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah menyebutkan “adalah wajib melantik ketua negara untuk menggantikan Rasulullah bagi melindungi agama serta mentadbir dunia dengan agama”. Tujuan pemerintahan Islam menurut Mohamad S.El-Wa ( On the political system of Islamic state,1984) adalah untuk terciptanya identiti Islam dalam masyarakat. Agar seluruh aspek kehidupan berlandaskan prinsip-prinsip nilai-nilai Islam.Jelas disini, tugas ketua negara bukan sekadar meningkatkan sosio-ekonomi umat, tetapi yang lebih penting lagi memartabatkan agama sebagai satu sistem yang mengatur seluruh perjalanan hidup muslim.[2]

Oleh kerana  kesinambungan Islam amat bergantung kepada pemimpin, maka Islam menetapkan pemilihan pemimpin tersebut harus memenuhi syarat seperti adil, ilmu yang membolehkan ia berijtihad dalam hal-hal yang berlaku serta mengeluarkan hukum, sempurna pancaindera, tidak cacat, mempunyai idea yang boleh memimpin rakyat ,menjaga kepentingan negara dan berketurunan mulia (al-Mawardi, al-Ahkam al-Sultaniyyah). Golongan yang wajar memikul tanggungjawab tersebut adalah golongan yang soleh seperti fatwa Ibn.Taymiah dalam kitabnya Ro’ul ma lam ‘an a’immatil a’lam, katanya: “kaum muslimin setelah memberikan wala’ (kesetiaan/ketaatan)kepada Allah dan Rasulnya, wajib memberikan wala’ kepada orang-orang mukmin sebagai ditegaskan oleh al-Qur’an, terutama ulamak yang menjadi pewaris para nabi dan dijadikan Allah sebagai bintang-bintang penunjuk jalan dikegelapan malam” (lihat,Dr.Yusof al-Qardowi, Fiqhul Iktilaf, 1995). Pandangan ini memperjelaskan adalah tidak salah bahkan tepat sekiranya ulamak melibatkan diri dalam kegiatan politik  dalam rangka menjalankan amanah Allah. Namun, sekirannya pemimpin yang dilantik itu tidak mencapai taraf sebagai seorang ulamak adalah wajar menjadikan ulamak sebagai penasihat mereka di dalam menjalankan urusan negara seperti mana yang telah dijalankan oleh pemimpin umat Islam waktu silam.


3). Masjid ,Fungsi dan Perpecahan

Salah satu isu yang hangat diperkatakan pada hari ini adalah berlegar tentang persoalan peranan masjid di dalam masyarakat. Terdapat berbagai persepsi umat Islam di negara ini tentang fungsi masjid, antaranya pandangan masjid hanya sekadar tempat beribadah, manakala persoalan politik tidak boleh dibincangkan di dalam masjid. Apakah persepsi tersebut mempunyai asasnya di dalam Islam? . Prof.Ahmad Shalaby telah menggariskan peranan institusi masjid semenjak zaman Rasullulah adalah seperti berikut: ia adalah tempat melakukan ibadat, tempat bermesyuarat, mahkamah menjatuhkan hukuman, institusi pengajian, balai pertemuan, tempat kegiatan kesusasteraan, tempat perbincangan mengenai perihal ekonomi dan perdagangan dan tempat memutuskan urusan negara. Sidi Gazalba pula menyimpulkan  institusi masjid di dalam Islam adalah titik tolak dan penghujung dari setiap segi kehidupan mereka.Dari keterangan di atas adalah tidak salah idealisme politik dibincangkan di dalam masjid tetapi ia mestilah berasaskan kepada nilai ketakwaan dan masjid tidak boleh sama sekali mengadakan kegiatan atau aktiviti kemasyarakatan (termasuk politik) yang boleh membawa perpecahan umat Islam (Zakaria Stapa, Fungsi dan kegunaan Masjid simbol perpaduan ummah).

            Segala permasalahan umat Islam semasa seperti perbalahan dan perselisihan pendapat harus diselesaikan di dalam masjid melalui semangat syura. Masjid seharusnya menjadi badan bebas yang memantau semua kegiatan umat Islam yang berada dipersekitarannya dan mejadi mekanisme memupuk perpaduan umat Islam. Zakaria Stapa menyimpulkan piawaian kegiatan masjid mesti didasarkan kepada tiga asas,iaitu: ketaqwaan, perpaduan dan kesucian. Semua aktiviti dibenarkan di masjid sekiranya tiga piawaian tersebut tidak dilanggar. Sekirannya masjid hendak dikawal, maka ia hendaklah diasaskan kepada pandangan al-Qur’an dan Hadis dan bukannya berasaskan pandangan manusia semata-mata. Menurut Al-Qadi Abu Bakar al-Arabi dalam kitab tafsirnya  Ahkam al-Qur’a (Lihat Akbar Eklusif, 21-27 Feb, 2000), mengatakan; umat Islam dianggap merobohkan masjid sekirannya mereka menghilangkan fungsinya dan menghalang muslimin untuk melahirkan syiar dan kesatuan pendirian.Pemilihan Imam di dalam masjid mengikut  al-Mawardi boleh dilakukan oleh pemerintah atau persetujuan ramai warga masyarakat yang berasaskan kepada syarat-syarat tertentu seperti hendaklah seorang yang Qari dan Faqih. Sekiranya terdapat dua orang calon imam, iaitu seorang yang qari tetapi tidak faqih, manakala seorang lagi adalah faqih tetapi tidak qari, maka al-Mawardi memutuskan yang faqih lebih layak dilantik menjadi imam.


4) Wanita , Poligami Dan Gangguan Sexual

Isu poligami dalam kalangan wanita bukanlah isu baru, malah ia sentiasa menjadi perbincangan pelbagai pihak, khususnya golongan wanita. Isu tersebut telah mendapat perhatian di kalangan pertubuhan wanita seperti Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia, Sisters In Islam, Persatuan Peguam-Peguam Wanita Muslim dan lain-lain yang telah menyuarakan dengan lantang kebimbangan mereka terhadap suami yang ingin berpoligami.Isu tersebut menjadi hangat terutama apabila kerajaan Selangor memansuhkan peraturan tandatangan isteri yang sedia ada di dalam borang permohonan jika sesorang suami itu berhasrat untuk berpoligami. Kemudian isu ini dikaitakan dengan bermacam-macam insiden seperti pengabaian tanggungjawab suami terhadap isteri pertama, keadilan, nafkah dan lain-lain (Al-Manar,Jun 1997).

Meskipun poligami merupakan isu kontroversi sepanjang zaman, namun hukum Islam adalah jelas memberikan keizinan kepada kaum lelaki berkahwin sehingga 4 orang isteri (lihat An.Nisa’:3). Poligami diizinkan berasaskan tindakan Rasulullah sendiri sama ada berbentuk sunnah amaliah atau taqririah.Bagaimanapun, keizinan itu tertakluk kepada dua syarat lain, iaitu kemampuan material, fizikal dan keadilan antara isteri dari sudut material bukannya melibatkan rohani atau emosi. Rasulullah sentiasa berlaku adil di kalangan isterinya dari aspek material tetapi dari aspek emosi beliau lebih mengasihi Aisyah dan Siti Khadijah. Ketika dikritik oleh Ummu Salamah (salah seorang isteri Rasulullah), Rasulullah bersabda: “Jangan kamu menyakitiku tentang Aisyah, sesungguhnya wahyu tidak datang kepadaku, dalam keadaan aku berada di dalam selimut seorang wanita melainkan dengan Aisyah”. Hanya Allah sahaja mempunyai kecintaan yang mutlak untuk seluruh makhluknya sepertimana doa Rasulullah: “Ya Allah, inilah pembahagian terhadap apa yang aku miliki.Janganlah engkau mengambil kira terhadapku sesuatu yang Engkau miliki dan aku tidak miliki” (Dr.Sa’adduddin al-Sayyid Salih, Strategi musuh menentang Islam (trj.), 1996). Meskipun amalan poligami di kalangan kaum lelaki di negara ini ada bukti yang jelas kelemahannya, namun kita tidak boleh menentang hukum tersebut kerana ia diputuskan oleh Allah sendiri. Poligami yang positif adalah penyelesaian terhadap masalah andartu, ibu tunggal,  dan pertambahan bilangan penduduk wanita di negara ini. Zamakhsyari pengarang kitab Tafsir al-Kasyaf menyatakan diantara sebab-sebab Islam mengharuskan berkahwin lebih dari satu adalah untuk menjaga masyarakat dari jatuh ke lembah perzinaan (Dipetik oleh Dr.Mohammad al-Bahi, Sikap wanita Islam kini (trj.), 1981). Ramai wanita yang sukar mendapat jodoh di kalangan lelaki tempatan telah bertindak mengahwini lelaki pendatang asing sehingga menimbulkan pelbagai masalah kepada diri dan keluarga mereka.

Mutakhir ini gangguan sexual yang dilakukan oleh kaum lelaki terhadap golongan wanita di tempat kerja mendapat perhatian kerajaan sehingga diperkenalkan akta khas gangguan seksual. Akta tersebut diperkenalkan kerana banyak laporan dikemukkan menunjukkan terdapatnya gangguan seksual  ke atas golongan wanita di tempat kerja atau dimana sahaja mereka berada. Kita memang menyokong undang-undang ini, tetapi adalah tidak adil menyalahkan kaum lelaki seratus peratus sebagai sebab utama berlakunya fenomen tersebut. Kaum wanita juga harus dipersalahkan dan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya perlakuan mereka seperti bentuk pakaian yang sexy, suara yang mengoda, perbuatan yang merangsang dan lain-lain lagi yang boleh mendorong kaum lelaki melakukan gangguan seksual. Dengan sebab itu, Islam telah memberikan syarat-syarat tertentu kepada kaum wanita yang ingin berkerja, seperti:

i.                     tidak menjejaskan kehormatannya sebagai seorang wanita, isteri yang setia dan ibu yang dimuliakan, apabila berada dengan lelaki di tempat kerja.
ii.                   Tidak menjejaskan kehidupannya dalam rumahtangga sebagai seorang isteri yang mempunyai sifat lemah lembut dan kasih sayang serta tanggungjawab terhadap suami dan anak.
iii.                  Tidak menjejaskan kedudukannya sebagai ibu yang sepatutnya memberi asas-asas pelajaran yang baik terhadap anak-anaknya yang masih kecil
iv.                 Tidak mempunyai sikap bahawa bekerja di pejabat-pejabat dan kerja-kerja lain yang ringan sebagai jalan untuk melarikan diri daripada tugas-tugas sebagai suri rumah yang dianggap membosankan.(Lihat,JurnalMinda Usuluddin, N0.6, Jun 1997).


5) Finatik dan Ekstrimisme

Kedua-dua istilah tersebut seringkali dirujuk kepada gerakan yang bercorak keislaman terutama untuk memperlihatkan tindakan mereka yang tidak bertolak ansur dengan kelompok lain terutama melibatkan persoalan dasar keislaman. Apakah finatisme dan ekstrimisme dalam bentuk ini sesuatu yang dicela oleh Islam?. Al-Qardowi telah memberikan ruang lingkup ekstrimisme adalah dalam bentuk:
i.                     finatik terhadap sesuatu pendapat dan menolak pendapat yang lain
ii.                   memaksa orang lain mengikut apa yang tidak diiltizamkan oleh Allah
iii.                  mempraktik hukum bukan pada tempatnya
iv.                 sikap kasar dan keras
v.                   terjerumus dalam mengkafirkan orang Islam lain.

Manakala Abd Rahman al-Maidani telah memberikan definisi ekstrimisme sebagai “melampaui batas-batas hukum Allah dengan meluaskan wazan agama yang telah ditetapkan dengan batas-batas hukum tersebut”. Golongan sekularis pula mendifinasikan ekstrimisme sebagai “mempraktikkan ajaran agama dan seruan ke arah perlaksanaan syariat Islam dalam semua bidang”(untuk keterangan lanjut lihat, Majalah Pengasuh, Nov.-Dis.,1999). Kesimpulannya, sekirannya seseorang itu melaksanakan cara hidup Islam  bukanlah termasuk di dalam kelompok ekstrimisme agama mengikut pandangan ulamak Islam tetapi ia dikelompokkan sebagai ekstrimisme agama kalau mengikut pandangan golongan sekularis.

Apa yang ditentang oleh Islam menurut Yusof al-Qardowi ialah sikap finatik kepada diri, kelompok atau parti. Finatik kepada diri ialah dengan menolak pendapat orang lain, finatik kepada mazhab sampai memaksumkan mazhab atau imam mereka dan finatik kepada kelompok atau parti dengan tidak memperdulikan kebatilan kelompok atau kebenaran kelompok lain. Islam menurut al-Qardowi mengharuskan bersifat adil kepada orang yang dicintai atau kepada orang yang tidak dicintai. Janganlah kemarahan membuatkan ia keluar dariapada kebenaran atau kecintaan menjerumuskan kepada kebatilan. Akhlak untuk keluar dari finatikisme ini adalah dengan melihat kepada perkataan bukannya melihat kepada siapa yang memperkatakan serta berani mengkritik (Lihat Yusof al-Qardowi, Fiqhul Iktilaf, 1995).

Kesimpulan

Dari huraian di atas, jelaslah persepsi masyarakat Islam terhadap isu-isu yang melibatkan persoalan keagamaan tidak dilihat dari perspektif ilmu dan Islam secara menyeluruh. Persepsi songsang umat Islam di negara ini berpunca dari kecetekan ilmu keagamaan, pengaruh pemikiran Barat, finatikisme, fobia Islam dan faktor-faktor lain. Apabila timbul sesuatu permasalahan umat Islam, sewajarnya dirujuk kepada ahlinya, bermuzakarah secara baik bukannya menggunakan media massa untuk menghentam golongan yang lain sehingga melebarkan lagi perpecahan masyarakat Islam di negara ini. Allahua’lam.